2# Pasar Seni dan sekitar jalan

Foto diatas : Landskap dari Stesen Putra LRT Pasar Seni.

Salam buat semua, untuk siri kedua Kamera,Kembara & Pena ini, lokasi yang dipilih adalah berbeza daripada yang sebelumnya. Memandangkan hari minggu kali ini juga adalah cuti umum yang panjang, Kamera,Kembara & Pena telah mengembara menyusuri jalan - jalan sekitar ibukota Kuala Lumpur. Memandangkan Kuala Lumpur mempunyai lokasi-lokasi menarik untuk dikongsi bersama, siri kali ini akan memaparkan beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur.Untuk merasai sendiri cerita di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur, pengembaraan kali ini adalah lebih kepada pengembaraan jalan kaki.

Perjalanan pada pagi Sabtu itu bermula pada jam 7.45 pagi lagi. Dari Shah alam aku menaiki KTM menuju ke KL Sentral. Kemudian lokasi pertama pada hari itu adalah seperti gambar diatas.Ya, Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market ( CM). Aku memilih lokasi ini kerana banyak aktiviti-aktiviti yang menarik berlangsung disini sebenarnya. Kewujudan kumpulan Annexxe Gallery di sebelah Central Market ini juga menambahkan lagi kegiatan seni di sekitar Kuala Lumpur. Di Central Market ini terdapat banyak barangan seni. Para pelancong ramai yang bertandang ke sini. Bangunan ini telah dibuka pada tahun 1888.

Pemandangan dari tingkat 3 Anexxe Gallery, Central Market. Pertama kali aku ke Anexxe Gallery. Walaupun aku ada dapat banyak jemputan aktiviti di sini, namun tak pernah berkesempatan untuk pergi. Jadi hari ini, aku ke sini. Esok sambutan Tahun Baru Cina, aku lihat banyak persediaan telah dibuat oleh kaum Cina untuk merayakan sambutan itu. Pemandangan dari tingkat 3 Anexxe Gallery ini memang unik,kerana banyak bangunan yang klasik dan lama disekitar Central Market dapat dilihat.

Lif klasik di Annexe Gallery. Rasanya susah untuk jumpa lif sebegini sekarang. Yang terakhir aku pernah jumpa lif sebegini adalah di Hotel Majestic, Ipoh. Hotel bajet yang terletak di Stesen Keretapi Ipoh. Lif yang menggunakan pintu kayu, ala-ala pintu kapal laut.

Ketika aku sampai di Annexe Gallery, masih pagi lagi. Jadi memang belum dibuka pamerannya untuk orang ramai. Tapi tak mengapa, asalkan aku boleh lihat sendiri tempat kegiataan seni ini. Kepada mereka yang belum pernah ke sini, boleh lah datang memberikan sokongan kepada penggiat seni di Annexxe Gallery ini. Banyak aktiviti dan acara-acara yang sering dianjurkan. Antaranya Arts For Grabs, Hari Bintang Jatuh 3 Venus dan sebagainya.

Melukis di kaki lima Pasar Seni. Ketika aku mahu beredar dari Central Market ini, aku sempat mengambil foto ini.Seorang tua melukis pemandangan Kuala Lumpur. Bukan semua orang boleh melukis. Bakat yang ada ini digunakan untuk mencari rezeki dan pendapatan. Mungkin tak seberapa harganya,tapi bakat dan karya seseorang itu memang unik. Semoga mereka yang melukis di Pasar Seni ini akan terus melukis.Lukisan itu cara ekspresi mereka, kadangkala kita boleh faham dan kadangkala hanya mereka yang tahu apa maknanya.

Aku terus berjalan melewati Jalan Petaling, menuju ke Puduraya. Keadaan pagi itu memang agak sibuk.Ramai orang yang kesana ke mari. Di Jalan Petaling, ramai kaum Cina yang membeli belah. Esok juga sambutan Hari Valentine, patutlah kedai-kedai bunga disekitar Jalan Petaling itu menjual bunga-bunga segar. Aku terus berjalan lagi. Kemudian aku sampai ke kawasan ini. Masjid Jamek Kuala Lumpur. Pintu pagar utamanya ditutup ketika itu.Tak tahu kenapa, mungkin atas sebab-sebab tertentu.Dibuka pada tahun 1908. Sudah lebih seratus tahun masjid ini disini. Semoga tempat ini juga menjadi tarikan buat umat manusia yang beragama Islam untuk beribadah.

Bangunan klasik yang dibaik pulih. Aku tertarik dengan bangunan ini. Walaupun di tengah-tengah bandaraya.Masih ada bangunan klasik sebegini. Kadangkala bangunan klasik ini yang menambahkan ciri-ciri bandar yang membangun. Setiap yang klasik itu pasti ada cerita sendiri,sejarah sendiri..

Ya,setelah berjalan lebih kurang 30 minit, aku tiba disini. Dataran Merdeka. Sejujurnya, ini kali pertama aku sampai ke sini. Ketika aku tiba disini, matahari sudah mula memancar,tegak atas kepala. Aku cari kawasan yang agak redup sekeliling Dataran Merdeka itu. Aku duduk disitu,keluarkan buku nota tulisan dan pena. Mula menulis tentang perjalanan ini. Ketika aku melihat perkataan "MERDEKA " itu aku terfikir tentang maknanya. Berapa mengertinya aku dan juga yang lain tentang erti merdeka itu sendiri. Pemikiran dan perbuatan kita sekarang ini adakah sudah merdeka? Janganlah hanya tahu jerit sahaja perkataan merdeka, pemahaman dan pengertiannya kita sendiri lupakan.



Tiang Bendera Malaysia. Berkibar megah. Ramai pelancong datang ambil gambar disini. Aku pula duduk memerhati keadaan sekeliling. Didepan aku, padang rumput hijau Dataran Merdeka. Memang benar kata orang,warna hijau itu menyamankan pemandangan. Walaupun panas terik ketika itu,warna hijau merubah sedikit keadaan ditempat itu.

Beberapa orang pelancong datang ke Dataran Merdeka untuk mengambil foto kenangan mereka. Semoga mereka rasa Malaysia ini negara yang cantik dan indah.

Jam 12.45 tengahari. Memang agak panas ketika itu. Cuaca pada hari Sabtu itu bahangnya boleh tahan.
Selepas Dataran Merdeka, aku meneruskan perjalanan sahaja.Lokasi dan destinasi? Tak pasti,hanya jalan sahaja. Gambar diatas adalah lokasi kegemaran aku untuk mengambil foto sekarang ini. Jalan kecil diantara dua bangunan. Tiada apa yang menarik sangat sebenarnya,cuma aku minat sahaja :)

Setelah ke Pasar Seni dan Dataran Merdeka, aku tak tahu hendak kemana. Jadi teruskan perjalanan sahaja. Banyak tempat,bangunan yang tak pernah aku tahu aku jumpa sepanjang pengembaraan aku. Akhirnya aku tiba di satu jalan yang memang popular, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Memang ramai orang disini. Ada yang membeli belah, jalan-jalan, dan macam-macam lagi.Aku lihat kiri dan kanan.Teruskan perjalanan. Ketika tiba disitu, aku memang tak tahu lagi hendak kemana. Jalan terus sahaja. Aku nampak papan tanda, Dang Wangi.Kemudian ternampak pula papan tanda Stesyen Putra LRT Dang Wangi. Aku terus kan perjalanan.Memang tak tahu jalan mana ikut gerak hati sahaja. Akhirnya jumpa! Aku beli tiket lrt menuju ke KLCC. Walaupun aku tahu,mungkin banyak kedai di KLCC akan tutup kerana sudah petang, dan esok sambutan Tahun Baru Cina. Aku beli sahaja tiket, gerak ke sana.


Aku masih belum solat Zohor ketika tiba di KLCC. Selalunya aku akan solat di surau Suria KLCC.Yang terletak dibahagian bawah itu.Kali ini aku rasa, baik aku teruskan pengembaraan aku ke Masjid As-Syakirin. Mungkin ada yang tak pernah tahu tentang kewujudan masjid ini. Masjid ini terletak di kawasan taman KLCC itu.Warna biru. Masjid ini memang mesra, kerana bahagian bawah masjid ini ada ruang kosong.Pengunjung dan sesiapa yang mahu bersolat dan mahu berehat boleh saja disini. Foto diatas adalah gambar seorang bayi yang baru sahaja tahu mengesot. Dia mengesot bebas di atas jubin lantai masjid itu.Ketika dia tersenyum, aku ambil kamera dan pegunkan saat itu. Bila kanak-kanak tersenyum, aku rasa gembira.Kerana dunia ini masih ada mereka yang tak tahu apa itu erti masalah.Kehadiran mereka ke dunia adalah untuk menceriakan suasana.

Sampai disini sahaja siri dua Kamera,Kembara & Pena. Terima kasih buat kalian yang sudi membaca dan memberikan sokongan terhadap siri ini. Semoga pengembaraan yang tak seberapa ini boleh memberikan sesuatu yang boleh dikongsi bersama. Terima Kasih sekali lagi untuk semua :) Nantikan edisi ketiga Kamera,Kembara & Pena

1 comments:

Lyna said...

comelnye baby tue ... hehe ...
next tmpt ape plak ... hehehe

Post a Comment

 

kamera.kembara & pena..cerita bermula Design by Insight © 2009